Jumaat, 18 April 2014

Filled Under:

Harta sepencarian-kenapa isteri perlu tahu

HARTA SEPENCARIAN-KENAPA PARA ISTERI PERLU TAHU.


Saje nak share tentang bab harta sepencarian ni.Terjumpa plak artikel nie.Khas untuk para isteri,gunakanlah 5 minit masa untuk membaca.Mungkin berguna untuk anda.Selamat membaca.

Konsep harta Sepencarian hanya berkaitan harta yang dimiliki oleh pasangan suami-isteri sahaja. Ia bermakna isteri ada hak ke atas harta sepencarian atas nama suaminya, atau suami juga berhak ke atas harta sepencarian dari harta atas nama isterinya. Bentuk harta sepencarian yang popular ialah rumah kediaman dan kondo atau apartment.

Pemilikan dan tuntutan harta sepencarian boleh dibuat semasa pasangan masih menjadi suami-isteri, atau setelah penceraian atau setelah kematian pasangan. Pemilikan harta sepencarian dibuat melalui proses mahkamah syariah atau pasangan itu membuat Deklarasi Harta Sepencarian.

Tuntutan harta sepencarian melalui mahkamah bukannya mudah. Ini kerana ia melibatkan masa, kos guaman, pengumpulan bukti dan belum tentu tuntutan harta sepencarian belum berjaya.

Cara mudah memperolehi harta sepencarian ialah pasangan membuat Deklarasi atau Perjanjian Harta Sepencarian semasa pasangan masih bahagia. Pasangan bersedia menyerahkan secara sukarela sebahagian harta kepada pasangan masing-masing.

Secara umum seseorang isteri/suami mahukan 50% daripada harta pasangan masing-masing dijadikan harta sepencarian, atau lebih daripada 50%, dan mungkin juga kurang dari 50% asalkan pasangan mempunyai hak komersial atas sesuatu harta.


Ada empat keadaan yang menyebabkan isteri perlu tahu mengenai hak mereka ke atas harta sepencarian:
  
1. Kematian Suami

Sekiranya suami meninggal dunia, hak isteri di bawah hukum faraid adalah 1/8 daripada harta suami dan baki 7/8 akan dibahagikan kepada waris yang biasanya ibu-bapa dan anak-anak. Anda boleh mendapat lebih 1/8 sekiranya semua waris bersetuju membahagi harta kepada anda.

Satu cara isteri hendak mendapat lebih daripada 1/8, katakan 50% ialah melalui tuntutan harta sepencarian di mahkamah. Tetapi, isteri belum tentu berjaya di atas tuntutan itu.

Cara mudah ialah suami-isteri semasa hidup menandatangani Deklarasi Harta Sepencarian dimana suami bersetuju membahagi sejumlah harta, katakan 50% harta itu kepada isterinya.
  

2. Berlaku Penceraian

Penceraian adalah satu malapetaka yang tidak boleh diramalkan. Tetapi jodoh, rezeki, ajal dan tanah perkuburan adalah ditentukan oleh Allah. Bila berlaku penceraian, isteri tidak menuntut sebarang harta dari suaminya kecuali harta sepencarian.

Bagi menuntut harta sepencarian, isteri kena melantik peguam bagi mendapat keputusan mahkamah syariah. Bagaimanapaun, isteri belum tentu mendapat harta sepencarian sekiranya tidak dapat menyakinkan mahkamah.

Cara mudah ialah suami-isteri semasa hidup menandatangani Deklarasi Harta Sepencarian dimana suami bersetuju membahagi sejumlah harta, katakan 50% harta itu kepada isterinya.

3. Suami Berpoligami  

Apabila suami berkahwin dua, isteri pertama akan merasakan kedudukannya terancam. Suami mungkin lebih menyayangi isteri kedua dan akan membahagi harta kepada isteri kedua dan melupakan isteri pertama.

Bagi mempastikan isteri pertama mendapat hak pemilikan yang sewajarnya, maka isteri itu hendaklah mempengaruhi suami supaya membuat perjanjian harta sepencarian semasa suami berkahwin dua. Jadi apabila suami berkahwin dua, isteri pertama tetap mendapat harta tanpa diganggu oleh isteri keduanya itu.

4.Tiada Anak atau Tiada Anak Lelaki

Sekiranya pasangan suami-isteri tiada anak lelaki atau hanya ada perempuan sahaja, maka berdasarkan hukum faraid, adik-beradik suami atau isteri akan mendapat sejumlah harta arwah suaminya itu.

Sekiranya pasangan itu tidak mahu harta utama seperti rumah jatuh ke tangan orang lain, maka wajar suami-isteri itu membuat Deklarasi Harta Sepencarian.

Dengan adanya Deklarasi Harta Sepencarian, isteri akan mendapat haknya tanpa terikat dengan Hukum Faraid.

Kesimpulan

Perjanjian harta sepencarian adalah cara yang berkesan bagi menjamin isteri mendapat hak-hak yang berupa harta benda seperti rumah kediaman, kondo dan apartmen. Ini kerana pembahagian harta sepencarian terus berkuatkuasa sertamerta sebaik Deklarasi Harta Sepencarian ditandatangani oleh pasangan suami-isteri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Copyright @ 2013 Info Rumahtangga Bahagia.